Amalan Terbaik

Amalan Terbaik Dalam Reka Bentuk UX Web Kerajaan

Sektor swasta memberikan banyak penekanan dalam mengoptimumkan reka bentuk web dengan menumpukan pengalaman pengguna. Tetapi apa sebenarnya maksud pengalaman pengguna? Dan bagaimana kerajaan dapat belajar dari mereka dan berusaha untuk mencapai amalan terbaik dalam reka bentuk web?

Apabila berbicara tentang reka bentuk web, pengalaman pengguna (UX) menjelaskan penggunaan teknik reka bentuk yang meningkatkan kemudahan penggunaan dan kesenangan yang dirasakan pengguna ketika berinteraksi dengan laman web. Laman web yang dibina mengikut kecenderungan fisiologi mata manusia dan mudah digunakan pengguna dengan mengikut intuitif sendiri – dikatakan mempunyai UX yang baik.

Secara amnya, kebanyakan laman web kerajaan pada masa ini tidak mengutamakan UX. Namun, semua ini mulai berubah apabila sektor awam mula beralih kepada perkhidmatan yang ‘Citizen Centric’ yang mengutamakan pengguna.

Berikut adalah tiga amalan terbaik dalam reka bentuk web untuk meningkatkan pengalaman pengguna UX dalam web kerajaan:

1. Rupa Bentuk UX yang Konsisten

Salah satu langkah terpenting dalam mengoptimumkan reka bentuk web kerajaan adalah dengan membangunkan paparan visual yang konsisten dan koheren. Reka bentuk laman web haruslah selaras di semua laman. Mengekalkan satu laman utama yang dikemas kini dengan paparan visual menarik tetapi menghubungkan ia ke laman dalaman yang mempunyai rupa bentuk berbeza dan berkualiti rendah menjadikan pengguna ragu-ragu terhadap kandungan yang mereka dapati. Akibatnya, mereka akan mudah keliru dan sukar mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

Laman web haruslah mematuhi panduan rupa bentuk yang seragam di seluruh lamannya. Mengikut amalan terbaik, paparan rupa bentuk haruslah bersih, kemas dan mempunyai motif yang minimum. Harus diingat bahawa tidak semua komputer dapat memproses Javascript yang rumit, video autoplay dan unsur-unsur lain yang sering kali dipanggil ‘interaktif’ tetapi sebaliknya memberikan pengalaman kurang menarik pada pengguna.

Sebaiknya, panduan rupa bentuk laman diwujudkan. Panduan ini akan menggariskan elemen visual seperti fon, logo, grafik dan sepanduk yang perlu dipatuhi di seluruh halaman. Semua aplikasi dalam talian, borang permohonan, dan portal pembayaran juga haruslah mematuhi piawaian rupa bentuk yang ditetapkan oleh panduan rupa bentuk tersebut bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman pengguna yang seragam dalam mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan.

2. Reka Bentuk UX yang Responsif

Seringkali ketika menggunakan telefon bimbit untuk mengakses laman web, kita berjumpa dengan reka bentuk laman yang tidak responsif. Banyak laman ini mempunyai paparan yang hanya dimuat separuh dari tepi skrin, atau dipaparkan begitu kecil sehingga tulisan pada laman tersebut sukar dibaca. Dukacitanya, banyak laman web kerajaan yang tidak dapat diakses secara optimum di telefon bimbit.

Sebilangan besar laman web kerajaan tidak dibina dengan reka bentuk responsif terhadap semua pelayar internet dan peranti. Realiti ini menimbulkan masalah, kerana lebih dari 50 peratus pengguna melayari laman web menggunakan telefon bimbit, dan jumlah ini terus bertambah. Lebih separuh dari jumlah pengguna mengakses akan mengalami kesukaran melayari web sekiranya ianya tidak responsif.

Kita tidak mahu sebahagian besar pengunjung berhenti kerana kesukaran penggunaannya, oleh itu adalah lebih baik bagi membangunkan laman web dengan memberi keutamaan kepada paparan telefon bimbit. Tambahan pula, sekiranya laman web boleh dilayari dengan baik pada telefon bimbit yang mempunyai paparan yang kecil, ia juga akan boleh dilayari pada paparan yang lebih besar bagi pengguna tablet dan komputer.

3. Kebolehcapaian

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, reka bentuk dengan kebolehcapaian (‘Web Accessibility’) menjadi antara keutamaan dalam reka bentuk web kerajaan. Semua perkhidmatan digital kerajaan mestilah dapat diakses oleh pengguna kurang upaya dengan mematuhi standard Garis Panduan Kebolehcapaian Kandungan Web (WCAG). Sebab utama reka bentuk dengan kebolehcapaian ini adalah untuk melindungi hak orang kurang upaya. Malah ia juga satu tanggung jawab moral yang perlu dipatuhi untuk memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat.

Web kerajaan mestilah dibangunkan dengan keutamaan memudahkan cara laman web itu dibaca. Ini memberi perbezaan besar bagi orang yang mengalami kesukaran membaca teks yang terlalu kecil atau dengan warna-warna tertentu. Lebih dari itu, web kerajaan juga harus disatukan dengan teknologi bantuan (‘Assistive Technology’), bagi membolehkan pengguna yang lebih sukar melihatnya dapat berinteraksi dengan laman web tersebut tanpa masalah.

Secara asasnya web kerajaan tidak perlu sukar digunakan. Sektor swasta telah menetapkan satu standard bagi reka bentuk yang konsisten, responsif, dapat diakses, dan kini rakyat juga mengharapkan pengalaman yang sama apabila mereka ingin mendapatkan perkhidmatan kerajaan. Berdasarkan amalan-amalam terbaik reka bentuk UX yang dinyatakan ini, diharap web kerajaan akan lebih mudah untuk diakses oleh semua.

Dapatkan berita terbaru terus ke e-mel anda